Pandemik COVID-19 di Malaysia

Pandemik COVID-19 di Malaysia
Gambar mikroskop elektron pancaran berwarna ini menunjukkan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19 - diasingkan daripada seorang pesakit di Amerika Syarikat. Partikel virus ditunjukkan timbul daripada permukaan sel-sel yang dikulturkan di makmal. Protein pepaku pada permukaan luar virus seakan bentuk mahkota (corona) memberikan nama koronavirus.
Peta taburan kes COVID-19 yang disahkan mengikut negeri setakat bulan Januari 2022
Peta taburan kes COVID-19 yang disahkan mengikut daerah setakat bulan Januari 2022
Peta taburan kes aktif COVID-19 mengikut daerah setakat bulan Januari 2022
PenyakitCOVID-19
Baka virusSARS-CoV-2
LokasiMalaysia
Asal wabakWuhan, Hubei, China
Kes indeksSungai Buloh, Selangor
Tarikh ketibaan25 Januari 2020
(4 tahun, 4 bulan dan 2 minggu
Kes yang disahkan5,180,812[1]
Kes aktif28,375[1]
Sembuh5,115,191[1]
Kematian
37,246[1]
Kadar kematian&&&&&&&&&&&&&&00.7200000.72%
Laman web rasmi
covid-19.moh.gov.my
covidnow.moh.gov.my

Templat:Data pandemik COVID-19/Carta kes perubatan Malaysia

Pandemik COVID-19 di Malaysia merupakan sebahagian daripada pandemik penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) yang sedang melanda seluruh dunia berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2). Sehingga kini, Malaysia berada di tempat ketiga bagi jumlah kes jangkitan COVID-19 dan juga jumlah kematian akibat penyakit tersebut di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Vietnam. Setakat 16 Disember 2023, terdapat sebanyak 5,180,812 kes yang telah disahkan di Malaysia dengan sebanyak 5,115,191 kes sudah pulih sepenuhnya dan 28,375 kes kematian.[2]

Sejak Januari 2020, tindak balas dan kesiapsiagaan perubatan terhadap wabak tersebut di Malaysia diselia oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah di bawah Kementerian Kesihatan dan empat buah kerajaan berturut-turut. Kes COVID-19 yang pertama di Malaysia telah disahkan pada 25 Januari 2020 yang melibatkan para pelancong dari China yang tiba di Johor melalui Singapura. Walaupun pada awalnya wabak tersebut terbatas kepada beberapa kes yang diimport, beberapa buah kluster tempatan telah muncul pada bulan Mac 2020.[3] Kluster yang terbesar pada ketika itu dikaitkan dengan perhimpunan agama Jemaah Tabligh yang diadakan di Kuala Lumpur, yang membawa kepada kenaikan besar-besaran dalam kes tempatan serta pengeksportan kes ke negara jiran. Menjelang akhir bulan Mac 2020, jumlah kes jangkitan COVID-19 yang disahkan di dalam negara telah meningkat daripada bawah 30 kes aktif kepada 2,000 kes aktif ke atas dan telah dilaporkan di setiap negeri dan wilayah persekutuan di negara ini.

Ekoran daripada peningkatan jumlah kes yang mendadak pada bulan Mac 2020, kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020 di seluruh negara. PKP yang sepatutnya tamat pada 31 Mac 2020 telah dilanjutkan hingga awal bulan Mei 2020. Setelah dilihat bahawa PKP dapat menurunkan kes jangkitan harian, pelonggaran sekatan secara bertahap dilaksanakan, pertama dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020, yang membenarkan kebanyakan sektor perniagaan dibuka semula di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun 2020. Pada asalnya, PKPP dijadualkan berakhir pada 31 Ogos 2020 tetapi oleh sebab pengesanan kes import yang berterusan, ia telah dilanjutkan lagi hingga akhir bulan Disember 2020, dengan beberapa sektor terpilih yang kekal ditutup serta penguatkuasaan sekatan perjalanan yang ketat dari beberapa buah negara.

Gelombang ketiga jangkitan COVID-19 berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September 2020 yang diikuti dengan beberapa letusan wabak di kilang-kilang Top Glove. Hal ini menyebabkan kerajaan menguatkuasakan PKPB di kebanyakan negeri mulai bulan November 2020 bagi membendung penularan jangkitan virus tersebut. Oleh sebab sistem kesihatan negara yang semakin tenat akibat wabak COVID-19, kerajaan telah melaksanakan semula PKP di beberapa buah negeri mulai 13 Januari 2021. Akhirnya, kerajaan menyelaraskan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak, mulai 22 Januari 2021. Darurat juga telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong di seluruh negara pada 12 Januari 2021, menyebabkan penangguhan sebarang sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memberikan kuasa darurat kepada kerajaan hingga 1 Ogos 2021.

Berikutan penurunan bilangan kes jangkitan baharu pada awal bulan Mac 2021, kerajaan telah menamatkan PKP di semua negeri dan wilayah persekutuan di dalam negara. Namun, PKP dikembalikan sekali lagi di beberapa buah negeri sejak pertengahan bulan April 2021 berikutan peningkatan semula dalam bilangan kes jangkitan harian. Dengan varian-varian SARS-CoV-2 baharu dikesan di Malaysia, ditambah dengan lonjakan jumlah kes jangkitan dan kematian harian COVID-19 yang tinggi, akhirnya kerajaan memperkenalkan semula PKP di seluruh negara mulai 12 Mei 2021. Kemudian, kerajaan mengukuhkan PKP dengan penutupun penuh mulai 1 Jun 2021, yang dilanjutkan sehingga tempoh tidak tertentu akibat penyebaran varian Delta yang parah dan berterusan di dalam negara sehingga menyebabkan keupayaan sistem kesihatan di beberapa buah kawasan lumpuh.

Berikutan kadar pemvaksinan COVID-19 dalam populasi dewasa yang tinggi dan penurunan jumlah kes jangkitan yang teruk mulai bulan September 2021, Malaysia telah mengumumkan hasratnya untuk menganggap COVID-19 sebagai penyakit endemik menjelang akhir Oktober 2021 dengan lebih banyak sekatan dilonggarkan. Gelombang kelima COVID-19 yang berpunca daripada varian Omicron telah menyebabkan peningkatan kes jangkitan harian yang mendadak pada bulan Februari dan Mac 2022. Walaupun begitu, varian ini mencatat bilangan kemasukan ke hospital dan kematian yang lebih rendah berbanding varian Delta. Mengikut unjuran setakat Mac 2022, subvarian BA.2 Omicron telah dijangka menjadi strain dominan di negara ini.

Pandemik ini memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada Malaysia dengan menurunkan nilai mata wang Malaysia dan menyusutkan KDNKnya serta telah memberi kesan sosial yang besar kepada masyarakat Malaysia. Permulaan pandemik ini pada awal tahun 2020 berlaku serentak dengan krisis politik negara yang awalnya tiada kaitan yang telah mengganggu tindak balas awal kerajaan, dan gelombang jangkitan COVID-19 yang berulang serta pengisytiharan darurat memburukkan lagi ketidakstabilan politik negara yang berterusan sepanjang tahun 2020 dan 2021. Keadaan ini membawa kepada kejatuhan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pembentukan kerajaan baharu di bawah Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob pada bulan Ogos 2021.

Program vaksinasi negara ini, yang juga diketahui sebagai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), telah bermula sejak akhir bulan Februari 2021, yang telah memberikan vaksin sepenuhnya kepada lebih daripada 84 peratus populasi Malaysia dan 99 peratus populasi dewasa di dalam negara ini setakat September 2022.

  1. ^ a b c d "KKMNOW - COVID-19 di Malaysia" (dalam bahasa Inggeris). Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 2022-10-07.
  2. ^ "Southeast Asia Covid-19 Tracker". Center for Strategic and International Studies. 28 January 2020. Dicapai pada 28 January 2020.
  3. ^ Sipalan, Joseph; Holmes, Sam (25 January 2020). "Malaysia confirms first cases of coronavirus infection". Reuters. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 February 2020. Dicapai pada 18 February 2020.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search